Thursday 30 August 2012

Isu Keguruan: Beban Tugas Guru

1.0 PENGENALAN

Dewasa ini, dunia pendidikan kerapkali dihujani dan digemparkan dengan pelbagai isu terutama yang berkait dengan guru. Di dada akhbar, isu yang melibatkan guru bagaikan menjadi satu topik hangat yang sering diwar-warkan dan begitu laris bagai pisang goreng panas. Isu beban tugas guru, kenaikan gaji guru, guru dibenarkan berpolitik dan pelbagai lagi isu yang melibatkan profesionalisme guru dan keguruan diperbincangkan. Profesionalisme guru menurut Hoyle (1980) dalam buku Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru, adalah sikap dan tindakan yang menyentuh aspek-aspek yang berkaitan dengan pekerjaan seperti hal-hal tentang syarat-syarat kerja, soal gaji dan upah, jadual tugas dan hal-hal lain yang berkaitan dengannya.
Salah satu isu yang penting berkaitan dengan bidang keguruan adalah isu beban tugas guru. Isu ini bukanlah isu baru namun sehingga kini isu ini masih menjadi topik yang kerap dibincangkan. Buktinya, banyak kali tajuk ataupun isu ini diperkatakan didada akhbar, blog-blog  dan sebagainya. Sebagai contoh:

a.    Beban Kerja Guru Kini Terlalu Berat – Utusan Malaysia 23 Januari 2008
b.    Seksa Jadi Cikgu – Berita Harian 1 April 2010
c.    Tokoh Syor Empat Langkah Kurang Beban Tugas Guru – Berita Harian 24 Mei 2010
d.    Tubuh Jawatankuasa Khas Kaji Beban Tugas Guru – Utusan Malaysia 1April 2010
e.    Guru Tidak Perlu Kerja 9 Jam – Utusan Malaysia 21 November 2011
f.     Jawatankuasa Kerja Tangani Isu Beban Guru Sedang Laksana 28 Perakuan-
g.    Muhyiddin – Utusan Malaysia 16 Mei 2012
h.    14 Isu Beban Guru Ditangani – Utusan Malaysia 17 Mei 2012

Sepertimana yang kita ketahui, guru dapat didefinisikan sebagai pendidik, pengasuh dan orang yang mengajar. Tugas pula mempunyai definisi iaitu kewajipan sesuatu atau dalam kata lain kerja, tanggungjawab yang mesti dilaksanakan. Beban pula bermaksud jumlah tugas yang perlu dikerjakan oleh proses atau sistem yang mesti dilaksanakan (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2007).
Berdasarkan definisi yang telah dinyatakan ini, dapat disimpulkan bahawa tugas utama seorang guru ialah mengajar dan mendidik dalam suasana pengajaran dan pembelajaran bersandarkan kepada kewajipan mereka sebagai guru. Walau bagaimanapun, tugas guru saban hari semakin bertambah
Menurut kajian oleh Mohamad Shukri bin Salleh (1998), beban tugas bermaksud tanggungjawab yang mesti dipikul dan dilakukan oleh para guru sama ada tanggungjawab di dalam bilik darjah mahupun di luar bilik darjah untuk menyelesaikan kerja-kerja sekolah. Beban tugas ini boleh diukur dengan melihat jumlah masa yang diperuntukkan untuk menyelesaikannya.
Tugas dan tanggungjawab guru di sekolah bukan sahaja merangkumi tugas akademik malahan juga tugas bukan akademik. Tugas-tugas akademik merupakan tugas-tugas yang berkait dengan tugas pengajaran dan pembelajaran secara formal sama ada di dalam atau luar bilik darjah. Tugas akademik hanya dijalankan oleh guru-guru yang berkelayakan dalam bidang-bidang tertentu sahaja. Tugas akademik ini terbahagi kepada tugas akademik rutin harian dan tugas akademik bermusim.
Tugas bukan akademik merupakan tugas-tugas yang dilakukan oleh guru di sekolah dan tugas ini boleh juga dilakukan oleh mereka yang bukan guru. Tugas bukan akademik adalah tugas yang tidak melibatkan proses pengajaran secara formal. Tugas ini termasuklah tugas-tugas pengekeranian, tugas-tugas khas dan tugas kokurikulum. Tugas bukan akademik yang dilakukan seharian dinamakan tugas bukan akademik rutin harian dan tugas bukan akademik yang dilakukan mengikut musim dinamakan tugas bukan akademik bermusim.
            Berdasarkan tajuk muka hadapan Berita Harian ‘Seksa Jadi Cikgu’ bertarikh 1 April 2010. Paparan muka hadapan ini jelas menyatakan seksa menjadi guru kerana guru dikatakan menanggung beban tugas yang terlalu banyak. Dalam artikel ini, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) telah membuat aduan mengenai beban tugas guru kepada Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 30 Mac 2010.

                            Rajah 1. Keratan akhbar Berita Harian 1 April 2010
            Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam artikel tersebut juga telah mengulas bahawa berdasarkan aduan yang dibuat oleh NUTP, antara tugas guru bukan sahaja meliputi hal pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah, malahan juga ada guru yang terpaksa mengendalikan aktiviti kokurikulum, hal ehwal murid, pentadbiran, pengkeranian serta beberapa kerja tambahan lain. Selain itu, NUTP turut membuat aduan bahawa guru terpaksa bekerja setiap Sabtu disebabkan terbabit dengan banyak aktiviti sedangkan pekeliling yang dikeluarkan membenarkan guru bercuti pada Sabtu sebanyak dua kali setiap bulan.  
Pengerusi Majlis Permuafakatan Kesatuan Guru Malaysia, Jemali Paiman menyebut;
“Ketika ini, guru terutama guru kelas adalah mereka yang paling teruk dibebani dengan tugas tambahan selain mengajar dan ia paling kritikal ketika musim persekolahan baru bermula. Guru bukan setakat perlu menyediakan maklumat peribadi pelajarnya tetapi dibebani dengan banyak lagi tugas lain. Mereka perlu mengutip yuran, sediakan buku kedatangan pelajar, dapatkan maklumat murid serta keluarga mereka seterusnya membuat analisis kelayakan untuk diberi bantuan, malah guru juga bertindak sebagai pegawai kesihatan yang merekodkan maklumat kesihatan. Mana ada jururawat yang ditugaskan membuat landskap hospital. Mana ada jurutera yang ditugaskan mengecat bangunan pejabat, tapi guru ada ketikanya perlu buat semua itu. malah, mural sekolah atau mengecat bangunan sekolah juga tergalas di bahu mereka.”
            Tugas-tugas sedemikian sememangnya mendatangkan beban kepada guru kerana telah mengganggu tugas hakiki guru iaitu mendidik pelajar. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia memandang berat isu ini dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji beban tugas guru dan mengkaji tahap keseriusan isu beban tugas guru ini.
            Berdasarkan artikel ini, dapat disimpulkan bahawa isu beban tugas guru perlu dipandang serius bukan sahaja oleh pihak kerajaan, malahan semua pihak termasuk masyarakat. Setiap individu perlu mengembleng tenaga dan idea untuk menyelesaikan masalah dan isu ini. Ini kerana, beban tugas yang semakin bertambah dan kian mencabar telah menyebabkan prestasi seorang guru terjejas dan ini secara tidak langsung menjejaskan prestasi murid-murid di sekolah.


2.0 PERKEMBANGAN HUJAH

Isu beban tugas guru bukanlah perkara baru di dalam negara kita kerana sejak beberapa tahun ini, perkara ini telah menjadi tajuk perbincangan hangat setiap kali bermulanya musim persekolahan.
Sebagai contoh, pada 8 Januari 2006 dalam Berita Harian telah mendedahkan bahawa guru di empat negeri, Selangor, Melaka, Johor dan Kuala Lumpur didapati menanggung beban kerja berlebihan, iaitu 74 jam seminggu berbanding maksimum 48 jam yang ditetapkan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). Tugas guru semakin hari semakin bertambah bukan sahaja berkaitan dengan bidang pengajaran malahan juga yang meliputi di luar bidang tugas mereka. Fenomena ini menyebabkan ramai guru sering mengeluh dan mengalami tekanan akibat tanggungan beban tersebut.
                                             Gambarajah 1: Bebanan tugas seorang guru

 Berdasarkan butir-butir yang terkandung dalam laporan kaji selidik NUTP bertajuk ‘Pandangan dan Syor NUTP: Beban Guru Meliputi Sekolah Rendah, Sekolah Menengah, Sekolah Teknik dan Politeknik’, beban tugas guru dibahagikan kepada lima bidang iaitu:
1.    Urusan data, fail, buku rekod dan laporan 
·         Pemprosesan maklumat guru, pelajar dan sekolah 
·         Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), stok mata pelajaran dan bengkel 
·         Penilaian kerja kursus mata pelajaran untuk peperiksaan 
·         Penilaian lisan berasaskan sekolah (PLBS) 
·         Buku Nilam Sekolah 
·         Laporan Adab Belajar 
·         Baitulmal dan biasiswa 
·         Laporan guru bertugas
·         Urusan disiplin pelajar 
·         Urusan pusat sumber 
·          Program khas dari Jemaah Nazir 
·         Buku rekod kerja sekolah 

2.    Pentadbiran 
·         Pegawai pinjaman di Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah 
·         Pengurusan pentadbiran 
·         Kutipan yuran dan pelbagai 
·         Guru kelas 

3.    Kurikulum 
·         Jenis peperiksaan 
·         Program sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Pelajaran
·         Kertas kerja kajian tindakan
·         Panitia
·         Mata pelajaran
·         Pentaksiran Ujian Lisan Berasaskan Sekolah (ULBS) 
·         Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) 

4.    Kokurikulum 
·         Aspek keselamatan & perlindungan guru dan pelajar 

5.    Hal Ehwal Murid (HEM) 
·         Urusan HEM Sekolah Menengah Berasrama 
Laporan kaji selidik yang telah dijalankan pada 1 Jun 2005 menunjukkan bahawa tugas guru meliputi pelbagai bidang, namun tugas yang dijalankan lebih tertumpu kepada tugas pentadbiran. Menurut Setiausaha NUTP, Lok Yim Pheng, berkata pihaknya risau apabila mendapati kira-kira 60 peratus tugas guru kini membabitkan kerja pentadbiran. 
Masalah beban tugas guru tidak pernah ada pasang surutnya. Pada 30 Mac 2010, NUTP telah membuat aduan mengenai beban tugas guru. Perjumpaan bersama pihak NUTP dengan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dilaporkan dalam Berita Harian, 1 April 2010. Sehubungan dengan itu, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia telah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Mengkaji Beban Tugas Guru. Jawatakuasa itu dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Don dan dianggotai beberapa pegawai pelajaran dan wakil NUTP bertujuan untuk mengenal pasti tahap keseriusan isu dan mengenal pasti punca masalah berkenaan dan mencari penanda aras yang boleh diguna pakai bagi menyelesaikannya.

Sehingga hari ini, tugas guru semakin bertambah dari sehari ke sehari. Dengan perubahan arus zaman globalisasi dan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi yang begitu meluas, tugas guru menjadi semakin mencabar. Guru merasakan tugas mereka semakin berat kerana mereka perlu menjalankan tugas yang tiada kaitan dengan tugas hakiki guru iaitu mendidik seperti tugas pengkeranian yang lebih menjurus kepada tugas pengurusan dan pentadbiran.
Tugas guru dalam bidang pengkeranian telah diakui oleh pihak Kementerian Pelajaran seperti yang tertera di dalam Laporan Jawatankuasa Kabinet yang mengkaji tentang Dasar Pelajaran Malaysia 1979;
“…..oleh sebab terdapat kekurangan kerani, guru-guru terpaksa menjalankan tugas-tugas bukan ikhtisas dan ini turut menjejaskan prestasi mereka dalam bidang ikhtisas”.
Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengulas serba sedikit berkaitan beban tugas guru dalam wawancara beliau bersama Penulis Buku ‘Sudut Pandang Muhyiddin Yassin:
Penulis : Bagaimana dengan rungutan sesetengah guru yang mendakwa mereka dibebankan dengan kerja pentadbiran sehingga mengganggu tugas hakiki mereka?
Tan Sri Muhyiddin: Kita sedang mengkaji dan memperhalusi perkara ini dan antara lainnya bertujuan untuk melihat dan memastikan tugas sebenar guru. Jika mengikut definisi biasa, tugas guru adalah mendidik dan mengajar. Bagaimanapun, kebiasaannya ada tugas lain yang turut dipertanggungjawabkan kepada guru, contohnya membabitkan aspek disiplin dan kokurikulum. Ini juga sebahagian tanggungjawab guru. Jadi apabila didakwa sebagai beban, kita perlu tahu apa sebenarnya yang dikatakan beban itu dan di peringkat mana gandaan kerja itu berlaku.
Tambahan lagi, pada zaman ini kebanyakan data berkaitan murid perlu diisi dan dimasukkan secara atas talian internet, sebagai contoh Sistem Maklumat Murid, Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) dan sebagainya. Ini lebih menyukarkan tugas guru kerana tidak semua guru pakar dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi. Selain itu, kekangan yang terpaksa dihadapi sewaktu proses memasukkan data seperti masalah server internet di sekolah yang kadangkala terganggu, atau lambat. Data yang ingin dimasukkan pula bukan sedikit dan kadangkala berlaku pertindihan proses memasukkan data antara guru-guru di satu-satu sekolah yang menyebabkan talian internet menjadi lambat.
            Rungutan para guru berkaitan kesukaran proses memasukkan data dalam talian telah ditulis dalam Berita Harian, 21 September 2011 bertajuk ‘Guru Merungut Program SAPS Lebih Sukar Dari Manual.’
“.…..sistem yang sebenarnya dicipta untuk memudahkan mereka akhirnya menyebabkan lebih ramai yang terseksa. Ada guru terpaksa bersengkang mata sehingga jam 3 pagi semata-mata untuk mengisi markah pelajar dan ada pula yang menghadapi masalah kerana tidak mempunyai komputer atau talian internet di rumah.Namun selepas menggunakan SAPS buat seketika, ramai guru merungut dan melepaskan kemarahan mereka dalam blog dan menulis surat kepada akhbar.” – Petikan rencana dalam Berita Harian 21 September 2011.
Selain itu juga, tugas guru menjadi satu beban yang berat kerana wujudnya arahan dalam arahan. Guru melakukan beban kerja berganda kerana program-program yang telah dirancang di peringkat kementerian perlu dilaksanakan, di samping melaksanakan program yang lebih kurang sama yang dianjurkan oleh pihak Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan seterusnya program sedia ada yang telah dirancang di dalam takwim sekolah. Kesemua program ini perlu dilaksanakan mengikut tempoh masa tertentu dan guru perlu menyediakan kertas kerja program, merancang jawatankuasa kerja dan memastikan program ini berjalan mengikut rancangan.
NUTP dalam Berita Harian bertarikh 2 April 2010 mendedahkan guru menanggung beban kerja  berganda apabila terpaksa melakukan tugasan dalam skop yang sama berulang kali atas arahan pihak atasan pada peringkat berbeza. Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng berkata senario berlaku apabila Kementerian Pelajaran mengeluarkan pekeliling yang mengarahkan guru melaksanakan program tertentu, namun pada masa yang sama mereka dikehendaki menjalankan lagi program seumpama atas arahan pentadbiran pada peringkat Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) atau Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), walaupun semua mengandungi pengisian hampir sama. Hal ini menyebabkan berlaku pembaziran masa dan menjejaskan tanggungjawab guru dalam pengajaran dan pembelajaran.
Tugas mengurus murid-murid di dalam bilik darjah turut menambah beban di bahu para guru apabila jumlah murid yang terlalu ramai dalam satu bilik darjah. Ketika ini, kebanyakan sekolah terutama sekolah di Bandar, mengalami masalah kepadatan bilik darjah sehingga ada yang melebihi 40 orang murid, menyebabkan guru menaggung beban seperti kesukaran mengajar kerana tahap penguasaan belajar murid berbeza, selain kerja merekod, pemantauan disiplin, pengurusan bilik darjah serta menyemak latihan. Lum Chee Hong menulis laporan bertajuk ‘2 Cikgu, Satu Kelas Disokong’ turut menyatakan bahawa terlalu ramai murid dalam kelas, sehigga jumlahnya melebihi 30 orang satu kelas menyebabkan persekitaran menjadi sempit dan menyukarkan guru untuk melakukan pemantauan terhadap semua murid.
Mohd Feroz dalam laporan khas yang ditulis dalam Berita Harian, 13 Mei 2011, menyatakan beban waktu mengajar guru yang tidak seimbang antara sekolah menjadi sebab beban guru bertambah. Hasil tinjauan yang dijalankan menunjukkan bahawa Sekolah Menengah Harian (SMH) mengalami kekurangan guru khususnya guru subjek Bahasa Melayu, Sejarah, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Fizik, Kimia dan Kemahiran Hidup. Beban tugas guru di SMH bertambah apabila bilangan guru tidak mencapai tahap optimum. Ini berbeza dengan Sekolah Menengah Teknik dan Vokasional dan Sekolah Berasrama Penuh.
Selain agihan guru tidak seimbang antara jenis sekolah berbeza, kakitangan kumpulan sokongan dan pentadbiran mengikut bilangan pelajar dan bukan mengikut beban kerja dalam organisasi sekolah merupakan penyebab beban guru bertambah. Mengikut amalan sekarang, nisbah antara Pembantu Tadbir sekolah dengan pelajar ialah 1:300 iaitu seorang Pembantu Tadbir bersamaan 300 pelajar. Akibat pembahagian guru dan Pembantu Tadbir yang tidak realistik, beban kerja guru menjadi semakin bertambah dan ini merupakan salah satu sebab tugas-tugas pengkeranian terpaksa dilakukan oleh guru.
Jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia telah menjalankan analisis beban tugas guru. Hasil dapatan awal kualitatif analisis dan tinjauan tersebut menyenaraikan beberapa beban tugas guru, iaitu;
 Jadual 1. Hasil Dapatan Kajian Oleh Jawatankuasa Menangani Beban Tugas Guru


3.0 IMPLIKASI ISU BEBAN TUGAS GURU

Beban tugas mendatangkan pelbagai implikasi kepada guru dan juga bidang pendidikan itu sendiri. Jika diamati, guru pada hari ini bukan hanya bertugas sebagai pendidik di dalam bilik darjah, malahan juga guru turut bertindak sebagai kerani, setiausaha, bendahari, jurujual, jurutaip, juruhias, dan sebagainya. Implikasi beban tugas yang terlalu banyak juga kadangkala memaksa guru bekerja lebih masa. Guru juga mendapat kurang waktu berehat  apabila dipanggil menjalankan pelbagai aktiviti pada hari Sabtu.
Memetik kata-kata Setiausaha NUTP, Lok Yim Pheng, pertambahan beban tugas guru dikhuatiri akan menyebabkan hala tuju sistem persekolahan negara lebih mementingkan keputusan berasaskan peperiksaan, berbanding memupuk budaya mencintai ilmu di kalangan pelajar. Guru kini selain mengejar waktu untuk menghabiskan silibus mata pelajaran, hanya memberi tumpuan terhadap aspek kemahiran pelajar menjawab soalan peperiksaan.
Lok menegaskan bahawa guru ingin memberi tumpuan kepada core business mereka, iaitu mengajar. Bagaimanapun katanya, guru lebih menghabiskan masa menguruskan data, fail, rekod dan laporan, menguruskan pelbagai pertandingan kurikulum dan kokurikulum serta program akademik dan bukan akademik di luar sekolah. Beliau menambah, guru kelas dibebankan dengan pelbagai kerja pengkeranian dan hanya sedikit masa digunakan untuk tujuan persediaan alat bantu mengajar dan rancangan mengajar serta menyemak buku latihan pelajar. 
Arumugam (1975) menyatakan punca-punca penting bagi ketegangan dan ketidakpuasan yang dialami oleh guru-guru di Malaysia adalah tugas-tugas pengkeranian yang banyak. Walaupun guru-guru sebenarnya menolak tugas pengkeranian yang diberikan kepada mereka, mereka terpaksa menerima dan melaksanakannya.
Beban tugas guru yang terpaksa dipikul ini akan menyebabkan para guru mengalami ketegangan seperti pendapat yang dikemukakan oleh Payne & Furnham (1987) iaitu di antara punca yang kerap berlakunya stress di kalangan guru ialah beban tugas bukan mengajar. Ketegangan yang tinggi di kalangan guru boleh menyebabkan rasa kecewa, agresif, bimbang dan mengurangkan prestasi kerja. Coldicot (1985) menjelaskan ketegangan yang tidak terkawal boleh menyebabkan penyakit dan kemerosotan dalam prestasi kerja.
Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris, Ab Aziz Mohd Yatim, berkata tekanan terhadap komitmen tugas yang perlu dilaksanakan mengikut standard tertentu memungkinkan guru bertindak di luar batasan. Menurutnya, guru yang tidak sanggup lagi menerima tekanan boleh bertindak di luar kawalan termasuk melempiaskan kemarahan kepada pelajar tanpa disedari hingga mengakibatkan masalah lain.
“Dulu, guru boleh mencorakkan cara pengajaran sendiri tanpa perlu memberi banyak komitmen terhadap tugasan lain. Berbanding sekarang, terlampau banyak kerja remeh temeh terpaksa dilakukan termasuk tugas dokumentasi yang perlu diserahkan kepada pihak tertentu.” – Ab Aziz Mohd Yatim
Hal ini begitu membimbangkan kerana di dada akhbar banyak kes berkaitan guru sakit jiwa dilaporkan. Salah satu contoh, adalah yang dilaporkan oleh Siti Nor Afzan Kasiman dalam akhbar KOSMO bertarikh 30 Ogos 2012, profesion perguruan terdedah kepada risiko tinggi untuk mengalami tekanan mental. Didalam laporan ini menyebut bahawa;
‘Kajian oleh NUTP mendapati 70 peratus daripada 9000 guru di seluruh negara tertekan bukan sahaja kerana beban tugas tetapi terpaksa berdepan dengan kerenah pengetua, kerani, ibu bapa dan juga pelajar’.

Salah seorang guru yang ditemu bual oleh penulis, mendedahkan bahawa akibat terbeban dengan kerja sebagai guru JQAF, beliau mengalami sakit jiwa. Beliau yang mengajar sekolah aliran agama tidak mampu untuk menanggung beban tersebut lebih-lebih lagi banyak masa dihabiskan di sekolah berbanding bersama keluarga.
“Semasa saya mengajar di Sekolah A, saya pernah bekerja tujuh hari seminggu dari pagi hinggalah petang sampaikan tiada masa untuk suami dan anak-anak. Hari Isnin hingga Jumaat, saya mengajar seperti biasa. Kadang-kadang saya diminta menggantikan guru lain mengajar subjek bukan aliran JQAF.Hari Sabtu pula, ada kegiatan kokurikulum yang mana semua guru terlibat dan hari Ahad pula saya selaku guru JQAF diwajibkan terlibat dalam Kem Bestari Solat."
Menurut Pakar Perunding Kanan Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Nor Zuraida Zainal dalam akhbar KOSMO, setiap tahun dianggarkan 22,000 pesakit mendapatkan rawatan di klinik dan wad psikiatri hospital berkenaan. Kira-kira 10 peratus daripada mereka terdiri daripada golongan guru. Malah, jelas Nor Zuraida, guru yang tertekan berisiko empat kali ganda lebih tinggi untuk mendapat penyakit kritikal seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang.
             
4.0 CADANGAN MENANGANI ISU BEBAN TUGAS GURU

Oleh kerana tanggungjawab dan tugas guru di sekolah yang terlalu banyak, maka setiap pihak perlulah memperhalusi dan mengkaji semula setiap tugas yang diberikan agar tugas tersebut tidak menjadi bebanan yang tidak mampu dipikul oleh guru. Pelbagai cadangan serta cara disarankan oleh pihak tertentu untuk menyelesaikan isu ini. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia sendiri telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Isu Beban Tugas Guru (JKPMIBTG).


JKPMIBTG telah mencadangkan 28 perakuan bagi menangani isu ini. Perakuan ini terkandung dalam Kenyataan Media yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pelajaran Malaysia.  Antara perakuan yang telah diambil tindakan:
1)    Bagi memastikan pelaksanaan aktiviti pada hari Sabtu diadakan secara berjadual serta tidak melebihi dua kali sebulan, satu surat siaran telah dikeluarkan oleh KPM untuk memastikan pihak sekolah mematuhi Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 8/2005: Pelaksanaan Bekerja Lima Hari Seminggu;

2)    Bagi mengurangkan beban tugas rencam guru di sekolah, satu Garis Panduan Penggabungan Jawatankuasa telah disediakan supaya jumlah Jawatankuasa di peringkat sekolah tidak melebihi sepuluh yang terpenting;

3)    Bagi mengurangkan tugas perkeranian yang ada pada ketika ini dilaksanakan oleh guru, KPM telah memohon pertambahan jawatan Pembantu Tadbir melalui urusan pindah butiran perjawatan/trade off bagi tujuan pelaksanaan kajian rintis di 50 buah sekolah gred A yang mempunyai enrolmen melebihi 1500 orang murid;

4)    Bagi mengurangkan kekerapan guru keluar meninggalkan kelas untuk berkursus:
a)    Satu Pelan Operasi Latihan (POL) Tahunan yang komprehensif sedang dibangunkan untuk dilaksanakan dalam tahun 2011;
b)    Kursus Dalam Perkhidmatan secara atas talian (online) akan diperkenalkan;
c)    Pemansuhan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dalam pembentangan bajet 2011 yang telah diumumkan oleh Y.A.B Perdana Menteri Malaysia

5)    KPM telah memohon peruntukan kewangan dalam Anggaran Belanja Mengurus 2011 bagi menampung keperluan khidmat Kumpulan Guru Simpanan Kebangsaan (KGSK) dan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT);

6)    One Stop Centre diwujudkan di peringkat KPM bagi tujuan pengumpulan dan penyelarasan data.

Setiap perakuan yang telah dijalankan oleh pihak KPM dapat mengurangkan beban tugas guru. Unpamanya, rungutan para guru berkaitan tidak cukup rehat kerana terpaksa bertugas setiap sabtu atau hari minggu. Oleh itu, dengan pelaksanaan aktiviti pada hari Sabtu secara berjadual serta tidak melebihi dua kali sebulan melegakan para guru kerana guru bukan sahaja mempunyai tugas di sekolah malahan juga perlu menguruskan keluarga memerlukan masa bersama keluarga masing-masing.
Tugas perkeranian merupakan salah satu beban tugas yang paling besar yang perlu ditangani oleh guru. Oleh itu, dengan pertambahan kakitangan Pembantu Tadbir merupakan cadangan yang amat baik dan disambut lega oleh pelbagai pihak. Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan di dalam akhbar Utusan Malaysia, 16 Mei 2012, satu cadangan akan dikemukakan kepada pihak Jabatan Perkhidmatamn Awam bagi memperluas penempatan kakitangan Pembantu Tadbir N17 di sekolah-sekolah bawah kementerian.
Pengerusi Majlis Permuafakatan Kesatuan Guru Malaysia, Jemali Paiman turut bersetuju dengan perakuan tersebut dan mengulas bahawa penambahan jawatan staf sokongan itu amat penting untuk mengembalikan guru kepada tugas sebenar mereka iaitu mengajar. Beliau menyebut “….guru perlu fokus untuk pengajaran, bukan dalam kerja perkeranian. Jangan biarkan guru terus buat banyak kerja lain setiap hari dan pening kepala setiap hujung bulan.”
Pihak KPM juga telah mengeluarkan surat siaran berkaitan pelaksanaan perakuan Jawatankuasa Khas Menangani Isu Beban Tugas Guru 2012. Pihak KPM telah melaksanakan peraturan dan perakuan berhubung mengurangkan bilangan ujian dan pelaksanaan peperiksaan setara di sekolah. Ini bermaksud pihak KPM telah memutuskan bahawa mulai tahun 2012, Bahagian-Bahagian KPM, Jabatan Pelajaran Negeri, dan Pejabat Pelajaran Daerah hanya dibenarkan untuk menyelaras dan melaksanakan satu peperiksaan setara sahaja sama ada bagi Peperiksaan Percubaan atau Peperiksaan Akhir Tahun. Pelaksanaan peperiksaan setara ini akan dimansuhkan bermula pada 1 Januari 2013. Pihak sekolah tidak dibenarkan untuk menyelaras jadual (setara) bagi ujian formatif. Untuk itu, guru-guru boleh melaksanakan ujian formatif mengikut jadual waktu pengajaran dan pembelajaran masing-masing.
 Bagi perakuan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP), pengoperasian LDP akan dijalankan secara School-Based di Sekolah-Sekolah di bawah KPM. Bagi mengelakkan dan mengurangkan kekerapan guru meninggalkan bilik darjah, LDP hendaklah dilaksanakan seperti berikut:
1)    60% latihan secara berasaskan sekolah (school-based)
2)    30% latihan secara berpusat di peringkat Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD)
3)    10% latihan berpusat di peringkat Bahagian KPM
Selain itu, pihak KPM turut menyediakan garis panduan penglibatan guru dalam aktiviti anjuran KPM. Garis panduan tersebut menetapkan bahawa pentadbir sekolah hendaklah mengagihkan tugas dan tanggungjawab kepada semua guru secara seimbang bagi mengelakkan penglibatan guru yang sama dalam aktiviti yang dianjurkan.
Majlis Guru Besar Malaysia turut mencadangkan kepada KPM untuk mengkaji nisbah guru dan pelajar untuk mengurangkan beban guru. Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM) Awang Mohamad melalui BERNAMA, 3 Ogos 2005 berkata “ Satu daripada cara untuk meringankan beban kerja ini ialah dengan menambah bilangan guru, ertinya kalau sekarang satu bilik darjah 1.5 guru, sekarang kita minta satu bilik darjah 2.0 (ertinya satu bilik darjah ada dua orang guru).”
Saranan yang disampaikan oleh Awang juga relevan dengan saranan pihak lain berkaitan jawatan pembantu guru bagi mengatasi masalah yang sama. Tokoh akademik, Tan Sri Abdul Rahman Arshad bersetuju dengan jawatan pembantu guru  bagi membantu guru di setiap kelas bagi melakukan tugas pentadbiran dan perkeranian. Memetik kata-kata beliau dalam Berita Harian, 2 April 2010;
“….Ini bukan sahaja meringankan tugas guru, malah pada masa yang sama membantu murid yang ketinggalan untuk maju standing dengan rakan lain..”
            Bagi mengatasi bilik darjah yang mengandungi terlalu ramai murid, kalangan guru menyokong syor menempatkan dua guru dalam kelas bagi meringankan beban tugas guru. Ini bersesuaian dengan saranan pihak lain yang mahukan pembantu guru di dalam bilik darjah. Perkara ini telah dinyatakan dalam rencana Berita Harian, 15 Disember 2010.
            Bukan itu sahaja, salah satu usaha atau cadangan bagi meringankan beban tugas guru yang semakin bertambah adalah ganjaran atau imbuhan guru ditingkatkan setanding dengan tugas dan amanah yang dipikul. Malahan, pihak KPM telah menyediakan tiga insentif sebagai ganjaran dan penghargaan kepada guru yang komited dalam memikul amanah mendidik anak bangsa dan menjayakan matlamat pendidikan. Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Berita Harian, 20 Mei 2010 menjelaskan mengenai insentif yang digunakan untuk meringankan beban tugas yang dipikul guru serta meningkatkan motivasi kerja guru di sekolah. Antara bentuk insentif adalah kenaikan gred perkhidmatan berdasarkan time-based. Ini bermaksud peningkatan gred dilakukan berdasarkan tahun perkhidmatan serta kualiti perkhidmatan.
            Pihak KPM turut menawarkan insentif sebanyak RM 900 hingga RM7500 kepada Pengetua, Guru Besar dan guru sekolah yang mencatat prestasi cemerlang mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan Kementerian Pelajaran. Ia boleh dianggap sebagai alternatif kepada cadangan membayar elaun kerja lebih masa kepada guru yang dituntut oleh NUTP namun telah ditolak oleh kerajaan.



5.0 RUMUSAN
Secara tuntasnya, isu beban tugas guru telah lama digembar gemburkan dan sehingga ke hari ini isu ini masih cuba ditangani oleh kementerian pelajaran. Saya bersetuju dengan isu ini bahawa beban tugas guru pada hari ini semakin bertambah dan guru banyak melakukan tugas-tugas pentadbiran seperti perkeranian. Tugas memasukkan maklumat murid secara atas talian merupakan salah satu beban tugas yang pada hemat saya begitu mencabar bagi sesetengah guru yang jarang-jarang menggunakan internet dan komputer.
            Apa yang saya perhatikan, banyak pihak yang mungkin mencebik, menjuih bibir apabila guru merungut mengenai beban yang mereka hadapi. Tak kurang juga yang mengatakan guru ketika ini manja dan banyak ‘songeh’ serta pelbagai kritikan lagi seperti  ‘sudahlah kerja separuh hari, cuti banyak pula, itupun nak merungut’.
Namun, mereka yang kebanyakannya menyalahkan guru dalam isu rungutan itu mungkin tidak peka mengenai situasi sebenar kerjaya itu ketika ini yang bukan sekadar kerap perlu bekerja melebihi masa sepatutnya, malah dibebani dengan longgokan kerja yang ada kalanya tak selesai di sekolah, terpaksa dibawa sehingga atas katil sebelum tidur.
Hampir kebanyakan tugas yang selayaknya diuruskan kerani atau pegawai data kini menjadi tanggungjawab guru. Daripada tugas merekod maklumat murid, data peribadi, keputusan peperiksaan secara manual dan berkomputer, bayaran yuran, rekod pinjaman buku teks, inventori aset sekolah sehinggalah kepada urusan pada peringkat pejabat pendidikan daerah serta jabatan pelajaran negeri.
Adalah tidak wajar guru dulu dan sekarang dijadikan perbandingan kerana pada zaman berteknologi maklumat serba canggih ini, semuanya perlu direkodkan secara berkomputer walaupun rekod bertulis turut perlu dibuat dan yang menyedihkan, bukan semua guru ada komputer atau lebih parah lagi, tak semuanya celik komputer.
Justeru, pada pendapat saya, adalah wajar kementerian memantau apa keperluan dan keperitan yang dihadapi penggerak utama dalam sektor pendidikan di negara ini.
“Saya penuh percaya bahawa guru yang berdedikasi tidak akan melihat tugas tersebut sebagai beban. Jika kita benar-benar minat, walaupun tugas itu berat, kita sedia berkorban dan jauh sekali mahu melihatnya sebagai beban. Konsep pengorbanan dalam profesion perguruan hakikatnya sangat penting dan saya tahu ada guru sanggup datang ke sekolah tanpa disuruh oleh guru besar untuk membimbing pelajar. Inilah bukti kepimpinan dan komitmen guru yang membezakan mereka daripada guru-guru lain” – Tan Sri Muhyiddin Yassin (2011).
Saya bersetuju dengan pendapat yang dinyatakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin ini. Namun berharap agar isu guru menjalankan tugas perkeranian dapat diselesaikan melalui cadangan kerajaan menambah bilangan jawatan pembantu tadbir agar guru dapat menjalankan tugas mendidik yang sepatutnya menjadi tugas hakiki mereka dengan lebih efektif.


Sharing is caring ^_^

2 comments:

  1. bernas... i share article ni dlm fb i.. tq...

    ReplyDelete
  2. the best way..guru kerja 8jam sehari same seperti penjawat awam lain masa takde class bole wat ape yg patut..maybe balik rumah xperlu fikir kerja

    ReplyDelete