Thursday 30 August 2012

Isu Keguruan: Guru Berpolitik

1.0 PENGENALAN ISU
            Tindakan kerajaan memberikan lesen kepada guru  DG 41 dan DG 48 berpolitik sudah pasti mempunyai kesan positif dan negatif. Antara alasan yang diberikan ialah guru merupakan golongan yang dihormati oleh masyarakat dan boleh memainkan peranan penting dalam scenario politik negara. Namun, kebenaran ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana selama ini pun ramai dalam kalangan guru yang bergiat aktif dalam politik sama ada dalam apa jua parti sekali pun.
            Dalam usaha kerajaan yang ingin memartabatkan sistem pendidikan, penglibatan guru dalam politik hanya akan menambahkan masalah pendidikan yang sedia ada. Masalah – masalah yang belum diselesaikan seperti buta huruf, ponteng sekolah, buli, vandalisme, samseng, mat rempit, pelajar yang mengandung luar nikah, dadah, merokok, pil khayal dan seribu satu masalah yang masih tertunggak perlukan perhatian khusus daripada guru terutamanya guru besar / pengetua.      
            Dalam keadaan sekarang masalah tersebut gagal diselesaikan apatah lagi apabila guru – guru melibatkan diri dalam politik yang memerlukan komitmen masa tanpa mengira waktu. Masalah seperti kurang dapat memberikan tumpuan dan komitmen di sekolah akan timbul sekiranya guru terlibat dalam aktiviti berpolitik. Oleh itu, saya berpendapat penglibatan guru dalam politik lebih banyak mendatakan keburukan daripada kebaikan dalam sistem pendidikan negara walaupun mungkin mendatangkan keuntungan kepada sesebuah parti politik.
           
Kerajaan telah membuat pindaan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tertib) 1993 bagi membolehkan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah(guru-guru) Gred DG41 hingga DG48 untuk bergiat aktif dalam politik mulai 1 Ogos 2010. Ini bermakna bahawa 190,000 guru siswazah seluruh negara diberi kebenaran bertanding, dilantik atau memegang jawatan dalam mana-mana parti politik. Pengumuman ini telah dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan. Pengumuman ini telah dinyatakan dalam artikel  ONLINE BH yang bertarikh 28 Julai 2010 sewajarnya disambut baik dengan fikiran yang positif.
            Rakyat Malaysia memahami bahawa tugsa guru di sekolah semakin hari semakin mencabar. Kenakalan pelajar sekolah sungguh menakutkan. Pergaduhan, hubungan seks, anak luar nikah, dadah, buli, peras ugut dan segala macam masalah anak muda remaja ini berada di sekolah sekarang. Ibu bapa menjadi resah dengan perkembangan yang berlaku. Dasar pendidikan yang sering berubah juga menambah beban kepada para guru. Tidak dapat dinafikan pendidikan yang baik mestilah sentiasa responsif dengan perubahan zaman tetapi perubahan yang dimaksudkan ada kalanya tidak menguntungkan mana-mana pihak kecuali kroni sahaja contohnya isu Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
            Dasar dibuat secara tergesa-gesa akhirnya terpaksa dimansuhkan dengan melibatkan kerugian jutaan ringgit duit rakyat. Dasar-dasar yang lemah inilah yang telah banyak membebankan guru-guru. Akhirnya guru-guru terpaksa membuat kerja di skolah, daripada merangka bentuk pengajaran pentadbiran sekolah sehinggalah tugas menghantar pelajar sakit perut balik ke rumah pun menjadi tanggungjawab mereka. Peruntukan pendidikan yang telah dipotong oleh kerajaan juga telah membebankan mereka. Ini sudah tentu menambah satu lagi tugas guru iaitu mencari dana sekolah untuk menampung keperluan sekolah. Tanggungjawab seorang guru pada masa kini umpama rojak. Persoalannya, adakah peranan dalam politik yang bakal dibenarkan ini tidak akan menambah beban yang sedia ditanggung?
            Tugas hakiki sekolah adalah untuk membentuk generasi muda negara menjadi manusia berguna. Ada pun tugas-tugas lain seperti kemasyarakatan, politik, ekonomi adalah tugas sampingan mereka. Maksudnya jika tugas mendidik telah selesai bolehlah mereka menumpukan perkara-perkara lain. Guru-guru gred DG45 hingga DG48 adalah guru-guru yang terlibat dengan pentadbiran di sekolah contohnya Ketua Bidang, Penolong Kanan dan Pengetua sendiri. Ini bermaksud tugas guru gred tersebut sudah tersedia berat di sekolah. Jika mereka terlibat dengan politik maka tidak ada pilihan kecuali mereka terpaksa melepaskan tanggungjawab pentadbiran di sekolah. Guru-guru yang baik di sekolah akan diberi tanggungjawab besar dalam pentadbiran.

            Jika mereka telah terlibat dalam politik maka kerja-kerja pentadbiran sekolah terpaksa dikosongkan. Kekosongan ini akan merugikan sekolah, guru-guru, pelajar dan ibu bapa kerana guru yang bekerja dengan penuh dedikasi ini telah memberikan fokus mereka kepada politik. Sungguh pun begitu, barangkali terdapat guru-guru yang sangat baik dari segi pengurusan masa dan tanggungjawabnya. Mereka yang mampu melaksanakan pelbagai keraja dalam satu masa ini mungkin boleh dipertimbangkan untuk berperanan dalam politik. Dala hal ini adalah lebih elok tahap penglibatan politik dibuat secara berperingkat seperti berperingkatnya PPSMI dimansuhkan.
            Bagi membantu membangunkan masyarakat yang dilanda pelbagai penyakit sosial yang semakin kronik pada masa kini, guru-guru yang berkualiti ini harus didedahkan kepada sistem sosial masayarakat negara ini secara berperingkat terlebih dahulu. Maksudnya pada tahap pertama ini guru-guru tidak perlu terlibat dalam politik kepartian tetapi cukup kepada mereka terlibat dalam aktiviti NGO dan pentadbiran komuniti di peringkat akar umbi terlebih dahulu.
            Cadangan ini adalah lebih sesuai dengan baki masa mereka di waktu petang dan malam. Contohnya aktiviti surau, masjid, kuil, gereja, kelab belia, aktiviti kaum ibu, kebajikan kampung, sukan, koperasi dan lain-lain lagi. Pengiktirafan yang diterima daripada kerajaan sebelum ini sangat minima sekali. Insentif-insentif yang lebih baik seperti elaun kemasyarakatan perlu diusahakan oleh kerajaan bagi menjayakan agenda ini.
            Kesimpulannya, kerajaan harus membetulkan matlamatnya untuk memberi kebenaran guru-guru berpolitik. Bagi guru-guru mampu dan cukup memahami selok-belok politik maka kebenaran melalui tapisan dan pemantauan yang ketat diperlukan. Ini penting bagi memastikan institusi pendidikan sekolah tidak terbantut peranannya kerana guru sibuk dalam parti politik. Pendidikan politik sihat perlu dimulakan sekarang. Didik pemimpin dan rakyat negara dengan penuh kasih sayang berlandaskan agama. Pendidikan ini boleh mengelakkan diskriminasi dan politik dalam sekolah berlaku selepas ini. Akhirnya kita sama-sama mempunyai tugas yang besar terhadap agama, bangsa dan negara.
2.0 PERKEMBANGAN HUJAH
            Dalam dunia pendidikan hari ini pelbagai isu yang sering diperkatakan dan dibincangkan di dada akhbar, di kaca televisyen dan pelbagai lagi media massa. Antara isunya ialah beban tugas guru, kenaikan gaji guru, Pendidikan Islam dimantapkan, guru menjadi pengedar dadah, guru berpolitik dan sebagainya. Tugas sebagai guru pada hari ini semakin mencabar dan semua guru hendaklah bersedia daripada segi fizikal dan mental serta mendalami ilmu pengetahuan dengan sebaik mungkin supaya segala cabaran yang datang dapat dihadapi dengan lebih berkeyakinan.
            Salah satu isu yang sering hangat diperkatakan pada zaman sekarang ialah mengenai guru berpolitik. “Masanya sudah tiba mereka dibenar aktif semula dalam politik,” (Tan Sri Mohd Sidek Hasan). Bermula 1 Ogos 2010, pegawai perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 akan dibenarkan membabitkan diri dalam politik. Ia telah diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan. Artikel tersebut telah disiarkan pada 27Julai 2010.
            Menurut Mohd Sidek, langkah itu berlandaskan hakika bahawa guru satu masa dulu memainkan peranan penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara. Walaubagaimanapun, pegawai perkidmatan awam mestilah mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran ataupun Ketua Setiausaha Negara berdasarkan Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 5 Tahun 1996.
            Selain itu, mereka juga perlu mematuhi syarat-syarat yang dikenakan dalam pekeliling tersebut supaya tugas dan fokus utama golongan itu iaitu mendidik tidak terjejas dengan pembabitan mereka dalam politik mengikut kata Mohd Sidek. Tindakan tatatertib akan dikenakan sekiranya mereka melanggar syarat yang telah diberikan di bawah Peraturan 4(2)(i), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
            Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata pihaknya menerima keputusan kerajaan membenarkan pegawai pendidikan gred berkenaan terbabit dalam politik dengan perasaan berbelah-bahagi. Kenyataan tersebut telah dikeluarkan dalam ONLINE BH pada 28 Julai 2010. Hashim Adnan juga berasa bimbang kebenaran guru berpolitik akan lebih memburukkan keadaan kecuali guru terbabit mampu bersikap profesional.
            Selain itu, beliau juga bimbang dengan kuasa mutlak yang diberikan kepada Ketua Setiausaha (KSU) kementerian untuk mengeluarkan kelulusan bertulis kepada pegawai perkhidmatan pendidikan terbabit kerana ia boleh menimbulkan rasa tidak puas hati individu yang gagal memperoleh kebenaran terbabit. Dalam artikel tersebut, Pengerusi Majlis Bersama Kebangsaan untuk Kumpulan Pengurusan dan Profesional, Anuar Ibrahim berkata keputusan membenarkan guru berpolitik amat tepat pada masanya kerana ia memberi peluang kepada guru untuk berkongsi pandangan mereka dalam bidang politik.
            Isu ini juga telah diperkatakan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad bahawa guru yang ingin berpolitik perlu bijak membahagikan masa antara tugas sebagai pendidik dan politik. Beliau juga berkata langkah ini boleh digalakkan namun perlu diberikan satu panduan supaya politik tidak dicemarkan dengan wang dan tidak mengabaikan tugas sebagai pendidik. Hal ini bermaksud guru perlu bersikap profesional dan dalam masa yang sama tidak mengabaikan tugas sebagai pendidik akibat terlalu taksub dengan politik.
            Dalam ruangan Minda Pengarang: Usah abai tugas di sekolah bila sudah berpolitik BERITA HARIAN ONLINE pada 28 Julai 2010, aspek yang sama juga diulas iaitu guru tidak harus mengabaikan tugas hakiki sebagai pendidik. Guru harus bersikap profesional dalam menjalankan tanggungjawab dan tidak terbawa-bawa dengan kecenderungan berpolitik hingga ke sekolah. Jika terlalu ghairah berpolitik dan gagal mengimbangi keadaan ini yang akan rugi adalah pelajar dan anak bangsa sendiri. Guru juga tidak wajar menghasut atau mempengaruhi pelajar supaya menyokong mana-mana parti. Sikap mencampuradukkan politik dengan tugas sebagai pendidik akan menjejaskan pelajaran pelajar dan masa depan mereka.
            Dalam artikel tersebut pengarang juga menegaskan walau apa pun pegangan dan fahaman politik, seseorang guru perlu melaksanakan agenda kerajaan atau
pemerintah semasa. Selain itu, kita juga tidak mahu profesion keguruan tercemar dengan gejala politik wang serta perebutan jawatan secara keterlaluan.
            Dalam ONLINE BH bertarikh 28 Julai 2010, artikel mengenai “Guru harus bezakan politik dan profesional” juga dikeluarkan dengan bertujuan untuk mengingatkan para guru bahawa tidak salah sekiranya ingin berpolitik tetapi perlu membetulkan niat dan hala tuju masing-masing bahkan tidak menangguk di air keruh berikutan pelbagai krisis politil semasa negara. Hal ini telah ditekankan oleh mantan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Rahman Arshad.
            Selain itu, beliau juga mengingatkan pengetua, pegawai Pejabat Pelajaran Daerah dan Jabatan Pelajaran Negeri supaya memantau guru yang antikerajaan sebaik sahaja kerajaan mewartakan arahan untuk membenarkan guru siswazah aktif berpolitik.
            “Guru boleh aktif politik” ONLINE BH 28 Julai 2010 oleh Haspaizi Mohd Zain. Dalam artikel tersebut, CUEPACS mahu semua pegawai dapat peluang sama untuk berpolitik. Presidennya Omar Osman berkata semua pegawai harus diberi peluang sama selari dengan hasrat kerajaan yang mahu kakitangannya turun padang dan mendekati rakyat.
            Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata “suara guru” dalam iklim politik negara sangat diperlukan kerana mereka sangat diterima masyarakat dan langkah itu sebenarnya memberikan kesan positif kepada negara. “Ia bakal melahirkan politik kepimpinan dan keputusan kerajaan ini telah memberikan kesan yang sangat positif ketika kita ketandusan pemimpin berkaliber, berintegriti, dihormati dan diseganinya,” (Mustapa).
            Dalam Utusan Malaysia bertarikh 28 Julai 2010 juga mengatakan guru dibenar berpolitik. Dalam artikel tersebut juga terkadung ulasan yang diperkatakan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan. Beliau berkata, langkah itu berlandaskan hakikat bahawa guru suatu masa dahulu memain peranan penting dalam memimpin masyarakat dalam scenario politik negara.
            Manakala keluaran Utusan Malaysia juga bertarikh 30 Julai 2010 yang bertajuk “Guru berpolitik boleh imbangi politik partisan”. Dalam artikel tersebut, penulis berkata guru-guru yang menyertai parti politik bakal menjadi faktor pengimbang antara hakikat sebuah kemerdekaan dan realiti semasa yang masih dalam peringkat percubaan. Selain itu, artikel tersebut juga mengulas bahawa guru sepatutnya mengajar murid bagaimana hendak belajar dan apabila tiba waktu berpolitik biarlah ia terhad kepada cerita politik yang positif.
            Antara artikel-artikel lain ialah “Guru aktif politik mampu lahir pemimpin berilmu” pada 2 Ogos 2010, “Senario guru berpolitik” bertarikh 5 Ogos 2010 dalam Utusan Malaysia, “Keputusan benar guru aktif politik diperinci” (ONLINE BH) bertarikh 6 Ogos 2010, myMetro (31 Ogos 2012) yang bertajuk “Politik di luar sekolah” dan “Timbang guru aktif berpolitik” dalam ruangan Tutor Utusan.
            Dalam satu petikan yang telah saya ambil dalam buku Pak Lah dan Pendidikan, antara perbualan Editor majalah Dewan Masyarakat bertanyakan soalan kepada Pak Lah mengenai guru berpolitik. Pak Lah mengatakan bahawa “Tidak ada siapa yang boleh menafikan sejarah bahawa guru sebagai penggerak dalam politik tanah air, guru sebagai penggerak semangat kebangsaan dan guru sebagai penyumbang utama dalam gerakan nasionalisme yang telah membawa kita ke arah perjuangan untuk menuntut kemerdekaan sehingga berjaya. Kalau kita tidak mengharapkan guru-guru yang berada di kawasan luar bandar yang ada kebolehan, yang ada kemampuan untuk memberi kepimpinan dalam politik, siapakah lagi yang hendak kita harapkan? Hari ini kita masih terikat dengan sejarah kita itu”.





3.0 IMPLIKASI HUJAH
            Terdapat pelbagai kesan yang akan timbul apabila guru atau pegawai perkhidmatan awam melibatkan diri dalam aktiviti berpolitik sama ada positif dan negatif. Namun guru hendaklah bijak dalam mengimbangi situasi dan keadaan sekiranya ingin melibatkan diri dalam aktviti berpolitik. Ini kerana seseorang guru yang terlalu taksub dengan politik akan menjejaskan kerjaya sebagai guru dan tidak dapat melaksanakan amanah yang diberikan dengan sebaiknya.
            Salah satu implikasi yang positif ialah guru berpolitik bakal melahirkan pemimpin berkaliber. Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menjelaskan bahawa suara guru dalam iklim politik negara sangat diperlukan kerana mereka sangat diterima masyarakat dan langkah itu sebenarnya memberikan kesan positif kepada negara.
            Beliau juga mengatakan guru berpolitik bakal melahirkan kepimpinan dan keputusan kerajaan ini telah memberikan kesan yang sangat positif ketika kita ketandusan pemimpin berkaliber, berintegriti, dihormati dan disegani. Artikel yang mengatakan mengenai guru berpolitik ini disiarkan pada 1 Ogos 2010. Beliau juga memberikan nasihat supaya  guru mementingkan kerjaya dan tidak menjejaskan prestasi di sekolah kerana jika itu berlaku ia boleh menjejaskan pelajar.
            Saya berpendapat guru sememangnya layak untuk untuk menjadi pemimpin yang berkaliber kerana di sekolah guru mempunyai pelbagai pengalaman dalam memimpin program ataupun acara di sekolah. Menjadi pemimpin bukanlah satu tugas yang mudah tetapi mencabar fizikal dan mental. Pemimpin hendaklah bijak dalam memimpin sesuatu program supaya berjalan dengan lancar. Ia juga sama dengan menjadi ahli politik kerana pemimpin perlu bijak untuk berhujah bagi meyakinkan orang ramai selain mempunyai cara yang berhemat untuk mendekati rakyat.
            Oleh yang demikian, melalui aktiviti berpolitik inilah guru dapat melatih diri mereka untuk lebih berkaliber selain mempamerkan bakat dan kelebihan yang ada dalam diri mereka. Namun, guru juga hendaklah beringat dan tidak melanggar syarat yang perlu dipatuhi sekiranya diluluskan untuk berpolitik. Syarat-syarat yang dipatuhi telah termaktub dalam Pekeliling Perkhidmatan Bil. 5 Tahun 1996. Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan untuk memberi penjelasan dan panduan mengenai permohonan oleh pegawai-pegawai awam untuk mengambil bahagian dalam aktiviti politik.
            Implikasi positif yang kedua ialah guru aktif politik mampu lahir pemimpin berilmu. Ia merupakan tajuk artikel yang telah saya petik dalam ONLINE BH bertarikh 2 Ogos 2010 yang mengatakan ia merupakan satu permulaan yang positif ke arah mewujudkan kematangan berpolitik dan ruang penyertaan yang lebih luas daripada pelbagai kerjaya dalam bidang ini. Golongan guru ini tidak boleh disalahkan kerana kebanyakan lepasan universiti, jika tidak meninggalkan kampung kerana mengejar kerjaya di kota, menjadi guru di tempat asal, tetapi dilarang memegang jawatan dalam parti.
            Kerana itu, langkah membenarkan semula guru lepasan ijazah memegang jawatan dalam parti dijangka mampu melahirkan generasi pemimpin akar umbi yang lebih dekat dengan rakyat. Guru, sebagai golongan pendidik yang dibekalkan dengan disiplin moral yang tinggi, diharap dapat meningkatkan semula mutu berpolitik rakyat negara ini, yang semakin merosot sekarang. Kerana profesion perguruan juga tertakluk kepada peraturan yang melarang mereka daripada menjalankan perniagaan, guru yang menduduki jawatan dalam parti nanti, tentu sukar untuk menggunakan kedudukannya bagi kepentingan diri.
            Saya berpendapat sememangnya guru yang melibatkan diri dalam berpolitik akan menjadi pemimpin yang berilmu kerana guru yang mempunyai gred DG41 hingga DG48 merupakan lulusan daripada universiti. Kita melihat pindaan peraturan itu adalah langkah mengembalikan semula hak guru, yang memberi sumbangan besar dalam perjuangan merebut kemerdekaan dan kemudian membina negara, untuk terbabit secara cergas dalam politik.
            Ramai pejuang kemerdekaan dan penentang Malayan Union, yang kemudian menjadi pemimpin parti politik Melayu selepas merdeka adalah terdiri di kalangan guru, khususnya lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, yang kini menjadi universiti. Kaum gurulah, selaku golongan berilmu dan pemimpin masyarakat, menyedarkan orang Melayu di luar bandar mengenai pentingnya mereka bersatu untuk mencapai kemerdekaan dan selepas itu, membantu kerajaan baru merdeka, mengisi kemerdekaan. Malah, ramai pemimpin kanan kerajaan dan parti politik Melayu pada awal kemerdekaan daripada kalangan guru termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Ghafar Baba.
            Walaupun terdapat pelbagai kesan yang positif sekiranya guru melibatkan diri dalam bidang politik, kesan yang negatif juga perlu diberi perhatian supaya imej kerjaya guru tidak dicemari dan dihormati sepanjang masa kerana seperti yang kita tahu ramai pihak yang menyanjungi pekerjaan sebagai guru juga dianggap kerjaya yang paling mulia. Dalam asyik melibatkan diri dalam berpolitik, kesan negatif juga akan timbul misalnya dari segi pengurusan masa.
            Pengurusan masa yang bijak dan seimbang akan memastikan kerjaya guru tetap dipikul dan dilaksanakan sebaik mungkin meskipun guru tersebut aktif dalam berpolitik. Sekiranya guru tidak membahagikan masa dengan bijak, kerjaya sebagai guru akan terganggu misalnya tidak dapat memberikan komitmen dengan kerja di sekolah, pembelajaran murid terabai, mengabaikan keluarga dan sebagainya.
            Hal ini menjadi kebimbangan pelbagai pihak kerana dikhuatiri kerjaya guru akan terjejas maka guru haruslah bijak dalam membahagikan masa selaras dengan pesanan Timbalan Perdana Menteri yang mengingatkan guru yang mahu berpolitik supaya memiliki kebijaksanaan khususnya dalam pembahagian waktu kerana tanggungjawab utama mereka adalah untuk mendidik pelajar menjadi warga berguna kepada negara. Artikel keputusan benar guru aktif politik diperinci ini disiarkan pada 6 Ogos 2010 dalam ONLINE BH.
            Selain itu, impak negatif yang kemungkinan akan timbul apabila guru berpolitik ialah guru mengabaikan tugas yang lebih penting di sekolah akibat terlalu ghairah berpolitik. Hal ini pernah diutarakan dalam Berita Harian Online menerusi ruangan Minda Pengarang: Usah abai tugas di sekolah bila sudah berpolitik. Artikel yang bertarikh 28 Julai 2010 telah mengupas mengenai pembabitan guru dalam bidang politik.
            Dalam artikel berkenaan ia menegaskan bahawa walaupun guru dibenarkan berpolitik tidak bermakna mereka boleh mengabaikan tugas hakiki sebagai pendidik. Guru harus sentiasa bersikap profesional dan menjalankan tanggungjawab dan tidak terbawa-bawa dengan kecenderungan berpolitik hingga ke sekolah. Ia menjadi kebimbangan jika terlalu ghairah berpolitik dan gagal mengimbangi keadaan ini, yang akan rugi adalah pelajar dan anak bangsa sendiri. Mereka juga tidak wajar menghasut atau mempengaruhi pelajar supaya menyokong mana-mana parti.
            Sikap mencampuradukkan politik dengan tugas sebagai pendidik akan menjejaskan pelajaran pelajar dan masa depan mereka. Jika itu berlaku, ibu bapalah yang paling runsing dan kecewa. Walau apapun pegangan dan fahaman politik seseorang guru, mereka perlu melaksanakan agenda kerajaan atau pemerintah semasa. Jika ia gagal dilaksanakan akibat terlalu ghairah berpolitik, agenda pembangunan mungkin tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan. Guru dilihat sebagai golongan yang memiliki integriti. Selain itu, kita juga tidak mahu profesion guru tercemar dengan gejala politik wang serta perebutan jawatan secara keterlaluan.
            Impak negatif yang lain adalah kemungkinan juga akan dicemari dengan politik wang ataupun perebutan jawatan secara keterlaluan. Isu ini telah dikupas dalam Minda Pengarang yang bertarikh 28 Julai 2010. Ini bermaksud apabila guru terlalu taksub berpolitik, ia akan timbul pelbagai masalah lain misalnya politik wang ataupun berebut jawatan antara individu. Hal ini akan menimbulkan perasaan tidak puas hati dan boleh menyebabkan pergaduhan antara ahli politik. Pergaduhan yang timbul akan lebih memburukkan lagi keadaan yang sedia ada. Oleh sebab itulah guru perlu mematuhi syarat yang ditetapkan dan sekiranya syarat tersebut dilanggar, kebenaran berpolitik akan ditarik balik.
            Cara itu amatlah relevan kerana dapat mengingatkan guru supaya tidak terlalu ghairah berpolitik sehingga mengabaikan tugas yang sebenar. Hal ini akan lebih memberikan kesan yang negatif kepada guru itu sendiri sekiranya tidak bijak membezakan antara kerjaya guru dan politik.

4.0 CADANGAN
            Isu guru berpolitik semakin hangat diperkatakan pada masa sekarang kerana terdapat pelbagai pendapat yang dikemukakan oleh pelbagai pihak sama ada yang bersetuju ataupun yang tidak bersetuju. Hal ini perlu diselesaikan dengan profesional supaya ia tidak timbul sebarang pergaduhan ataupun perasaan tidak berpuas hati. Pada pendapat saya terpulang kepada setiap individu sama ada ingin melibatkan diri dalam bidang politik ataupun tidak.
            Antara cadangan yang boleh diatasi mengenai isu guru berpolitik ialah salah satunya ialah guru hanya boleh berpolitik apabila berada di luar waktu sekolah supaya tidak menganggu kerja dan komitmen yang perlu dilaksanakan di sekolah. Politik diluar waktu sekolah telah diperkatakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi dalam artikel myMetro yang disiarkan pada 31 Ogos 2012. Beliau juga mengatakan guru jangan terlalu asyik berpolitik sehingga anak didik di sekolah terabai dan menjadi mangsa taksub guru berkenaan.
            Hal ini jelaslah bahawa tidak salah untuk guru melibatkan diri dalam politik tetapi perlu bijak membahagikan masa dan perlu lebih mengutamakan kerjaya di sekolah. Akibat terlalu asyik berpolitk guru akan mengabaikan tanggungjawab yang lebih utama menyebabkan murid menjadi mangsa dan kerja-kerja akan tertangguh. Oleh yang demikian guru mestilah bertanggungjawab dan profesional dalam setiap kerja yang dilakukan.
            Berpolitik diluar waktu sekolah juga merupakan syarat yang diberikan kepada guru dalam Pekeliling Perkhidmatan Bil. 5 Tahun 1996(Rujuk lampiran) sekiranya guru tersebut diluluskan untuk berpolitik.  Hal yang demikian adalah untuk memastikan kegiatan berpolitik tidak akan mengganggu tugas yang lebih utama. Terdapat juga empat syarat lain yang perlu dipatuhi oleh guru untuk memastikan guru tidak terlalu taksub dan asyik dengan kegiatan berpolitik.
            Berpolitik atau tidak merupakan hak individu dan terpulang kepada diri masing-masing sama ada ingin melibatkan diri atau tidak. Walaupun guru tersebut telah menceburkan diri dalam bidang politik, kerjaya sebagai guru hendaklah diutamakan. Ini bermaksud guru hendaklah bersikap profesional dan tidak sekali-kali menangguk di air keruh. Hal ini telah diperkatakan oleh mantan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Rahman Arshad dalam ONLINE BH bahawa beliau bersetuju guru siswazah menceburkan diri dalam dunia politik semasa negara tetapi perlu membetulkan niat dan hala tuju masing-masing.
            Oleh yang demikian, guru hendaklah bersikap profesional dalam membezakan politik dan profesion  supaya kegiatan berpolitik tidak menjejaskan kerjaya yang lebih utama. Hal ini menjadi kebimbangan semua pihak terutama ibu bapa pelajar sendiri kerana mereka risau dan kecewa sekiranya guru berpolitik memberikan kesan yang negatif kepada anak-anak mereka bermaksud guru tidak memberikan komitmen yang sepenuhnya kepada pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
            Dalam hal ini, pesanan dan nasihat mantan Ketua Pengarah Pelajaran adalah tepat dan relevan. Beliau juga turut mengatakan Kementerian Pelajaran semestinya tidak akan memaafkan guru siswazah yang sengaja membiarkan anak muridnya terabai apabila guru mereka sibuk berpolitik. Peranan pengetua atau guru besar, pegawai Pejabat Pelajaran dan Daerah dan Jabatan Pelajaran Negeri akan dituntut untuk memantau mana-mana guru yang antikerajaan sebaik-baik saja kerajaan mewartakan arahan untuk membenarkan guru siswazah aktif berpolitik.
            Cadangan saya yang ketiga sekiranya guru ingin berpolitik ialah guru tidak boleh menggunakan pengaruh politik bagi menyelesaikan masalah-masalah perkhidmatan demi kepentingan peribadi atau bagi pihak sesuatu kumpulan, pertubuhan, persatuan atau sebagainya. Hal ini juga merupakan syarat yang terkandung dalam Pekeliling Perkhidmatan Bil 5 Tahun 1996. Hal ini adalah bertujuan untuk memastikan guru ataupun pegawai kerajaan tidak menyalahgunakan kuasa dan hak untuk kepentingan peribadi.
            Sekiranya guru tersebut menggunakan pengaruh politik untuk kepentingan hak peribadi masing-masing, ia akan menjejaskan kerjaya dan imej profesion keguruan kerana guru merupakan kerjaya yang dianggap paling dihormati. Dengan cara menggunakan pengaruh politik untuk kepentingan peribadi juga akan menimbulkan rasa tidak puas hati pelbagai pihak dan boleh menimbulkan pertelingkahan pendapat. Hal yang demikian juga akan menjejaskan profesion dan jawatan yang dipegang oleh guru tersebut.
            Cadangan yang seterusnya pula ialah guru tidak menggunakan sebarang maklumat rasmi pejabat untuk tujuan kegiatan politik. Sekiranya guru bertindak sedemikian, kerajaan boleh menarik balik kelulusan yang diberi dan tuan boleh dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan 4(2)(i), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Ini bermaksud semasa kegiatan politik, guru tersebut tidak boleh menggunakan maklumat rasmi pejabat untuk mempengaruhi persatuan atau ahli politik.
            Guru hendaklah amanah dan jujur dalam melaksanakan setiap tanggungjawab yang telah diberikan supaya tidak dianggap seorang individu yang mementingkan diri sendiri. Contoh menggunakan maklumat rasmi kerajaan ialah misalnya menggunakan maklumat kewangan sekolah untuk mempengaruhi kegiatan politiknya.
            Selain itu, guru tidak boleh mempengaruhi pelajar mengenai politik semasa berada di dalam kelas ataupun mengedarkan soalan yang mengandungi unsur-unsur politik serta mengedarkan risalah atau apa jua maklumat mengenai politik. Keadaan yang sedemikian akan mempengaruhi prestasi pembelajaran pelajar dan merosakkan reputasi guru tersebut.
            Semasa melaksanakan pengajaran dan pembelajaran, guru juga tidak boleh menyampaikan maklumat atau mempengaruhi pelajar mengenai politik. Walaupun pelajar di dalam kelas tidak memahami maksud yang disampaikan, ia tetap akan menjadi kesalahan kerana guru tidak dibenarkan berpolitik semasa berada di dalam waktu sekolah. Oleh yang demikian hendaklah peka dengan keadaan supaya tidak diambil tindakan tatatertib yang akan menjejaskan masa depan guru tersebut.



5.0 RUMUSAN
            Isu guru berpolitik semakin hangat diperkatakan daripada pelbagai pihak. Ada yang bersetuju dan tidak kurang juga yang tidak bersetuju. Pada pendapat saya, saya tidak bersetuju dengan isu guru berpolitik kerana saya berpendapat lebih banyak implikasi yang negatif daripada positif sekiranya guru tersebut aktif dalam berpolitik. Cuba kita lihat pada zaman sekarang masalah sosial dalam kalangan remaja atau dengan kata lain pelajar sekolah semakin membimbangkan.
            Peratusan masalah sosial semakin meningkat saban hari membimbangkan banyak pihak. Sekiranya guru sibuk melibatkan diri dalam aktiviti politik, ia akan menimbulkan banyak masalah lain misalnya yang paling ketara ialah cara menguruskan masa dan mengimbangkan antara profesion guru dan politik. Mana mungkin seseorang individu boleh menyelesaikan masalah dan kerja yang banyak dalam satu masa. Ini kerana guru zaman sekarang terlalu banyak kerja yang perlu dilaksanakan di sekolah sehingga timbulnya isu beban tugas guru yang terlalu banyak.
            Ini menunjukkan bahawa guru perlu bijak dalam membahagikan masa supaya seimbang dari segi profesion dan politik. Namun kerjaya sebagai guru di sekolah hendaklah lebih diutamakan walaupun terlalu sibuk berpolitik. Akibat terlalu taksub berpolitik, kerja di sekolah ditangguhkan, keluarga diabaikan, anak murid disisihkan dan sebagainya. Amanah yang diberikan sebagai guru adalah lebih penting kerana tugas guru adalah untuk mendidik dan memberikan ilmu pengetahuan yang sepenuhnya kepada anak murid.
            Guru aktif berpolitik bukanlah menjadi satu kesalahan tetapi terpulang kepada individu tersebut untuk sama ada ingin melibatkan diri atau tidak. Guru berpolitik ini merupakan satu peluang yang perlu dihargai dan disambut oleh guru dan pegawai perkhimatan lain kerana setelah 17 tahun mereka dilarang untuk berpolitik. Sebelum melibatkan diri dalam aktiviti berpolitik, guru hendaklah berfikir terlebih dahulu supaya mereka tidak tersilap langkah yang boleh menjejaskan masa depan mereka sendiri. Oleh yang demikian, sikap profesional adalah perlu diutamakan dalam menjamin masa depan yang baik.

Sharing is caring ^_^

No comments:

Post a Comment