Thursday 30 August 2012

Isu Keguruan: Penyelewengan Wang Di Sekolah

1.0 PENGENALAN
Menyedari masih ramai masyarakat di negara kita yang masih tercicir dan tidak berkemampuan untuk mendapat peluang pendidikan, pihak KPM telah menunjukkan keprihatinannya dengan menubuhkan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin kepada  murid yang berkelayakan. Objektif penubuhan  tabung KWAPM ini adalah untuk membantu golongan ibu bapa dan murid yang berpendapatan rendah yang tidak berkemampuan untuk menghantar anak mereka ke sekolah. Tujuan pihak KPM menubuhkan tabung KWAPM ini juga adalah untuk mengurangkan jurang peluang pendidikan di anatara bandar dan luar bandar.
Walaubagaimanapun, setelah pihak KPM melaksanakan tabung ini, timbul pula isu yang semakin hangat diperkatakan dari hari ke hari iatu guru KWAPM menyeleweng duit yang sepatutmya diberikan kepada murid. Malah ada pula isu yang menjadi bertambah rumit apabila wang yang sepatutnya menjadi kegunaan untuk murid membeli barang peralatan di sekolah telah disalahgunakan oleh ibu bapa. Kenapakah isu ini masih boleh timbul sedangkan setiap guru KWAPM telah dipertanggungjawabkan tugasnya dan senarai nama murid yang layak telah disenaraikan?


Pengurusan kewangan merupakan satu aspek yang penting di sekolah. Aspek pengurusan kewangan merupakan satu tugas penting yang perlu dikendalikan dengan sistematik dan berkesan. Di sekolah, Guru Besar bertanggungjawab sepenuhnya untuk menentukan aspek kewangan dijalankan mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan. Guru Besar juga untuk memastikan bahawa tidak ada sebarang penyelewengan berlaku di dalam pentadbiran kewangan sesebuah sekolah. Pengurusan kewangan dapat dilaksanakan dengan sistematik adalah bergantung kepada kemahiran, kepimpinan dan sikap Guru Besar sesebuah sekolah itu sendiri. Namun, tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada Guru Besar pula telah menjadi satu masalah besar kepada pengurusan kewangan sekolah apabila telah dilaporkan bahawa terdapat kes penyelewengan dan penyalahgunaan wang yang berlaku berpunca daripada Guru Besar itu sendiri. Hal ini umpama ‘harapkan pagar, pagar makan padi’.


Berdasarkan laporan Ketua Audit Negara, terdapat penyelewengan dalam mengagihkan bantuan Kumpulan Wang Amanah Saham Pelajar Miskin (KWAPM) di mana dilaporkan lapan kes kehilangan dan penyelewengan wang berjumlah RM 196,550 telah dilaporkan dari tahun 2004 hingga 2008. Dua kes melibatkan penyalahgunaan wang oleh guru besar, tiga kes kehilangan wang oleh guru besar, dua kes kegagalan guru besar menyerahkan wang dan satu kes aduan penyelewengan kewangan oleh guru besar.
2.0 PUNCA PENYELEWENGAN WANG DI SEKOLAH
Isu penyelenggaraan dokumen dan rekod serta penyediaan penyata kewangan yang lemah merupakan salah satu punca berlakunya penyelewengan dan penyalahgunaan wang di sekolah. Hal ini mudah berlaku kerana apabila penyata kewangan tidak tetap dan sentiasa mempunyai kesilapn dalam penyata akan memudahkan pihak bertanggungjawab untuk membuat penyelewengan wang sekolah. Penyalahgunaan wang mudah berlaku sekiranya Buku Tunai tidak dikemaskini setiap masa. Namun, kita sedia maklum tentang laporan Ketua Audit Negara, 2009 telah melaporkan penyelewengan ini berlaku disebabkan oleh Guru Besar sendiri, maka seharusnya pihak atasan seperti pihak Pejabat Pelajaran Daerah ataupun Jabatan Pelajaran Negeri itu sendiri turun padang untuk memantau dan membuat semakan bersama-sama pihak pentadbir untuk memastikan segala pengurusan kewangan di setiap sekolah berjalan dengan lancar.
Tahap kesedaran etika yang rendah tentang tanggungjawab yang diberikan oleh pihak atasan kepada pihak yang bertanggungjawab merupakan faktor utama berlakunya masalah kehilangan dan penyelewengan mengagihkan bantuan KWAPM. Hal ini berlaku kerana kebanyakan pihak pengurusan tidak mengetahui ilmu menguruskan kewangan dengan betul (Syed Ismail & Ahmad Subki, 2010). Guru seharusnya berpengetahuan tentang cara mengurus wang sekolah dengan sebaik mungkin. Segala dokumen yang berkaitan dengan pengurusan kewangan tersebut mesti disediakan dalam bentuk ‘hitam putih’ supaya menjadi bahan bukti terhadap segala perkara yang dibuat supaya tidak berlakunya kehilangan wang. Dengan adanya dokumen ‘hitam putih’ ini, sesiapa sahaja tidak boleh mempertikai sekiranya berlaku sebarang masalah kewangan dan kehilangan barang. Walaupun perkara ini dianggap seperti perkara biasa, namun sekiranya tidak diurus dengan betul ianya akan mendatangkan satu masalah yang besar pada masa akan datang.
Selain itu juga, kes ini berlaku kerana sikap tidak patuh pihak pengurusan sekolah berkaitan arahan Perbendaharaan 60 yang menyatakan dengan jelas bahawa semua terimaan hendaklah dikeluarkan resit rasmi bagi mengaku terima wang yang dibayar kepada pihak sekolah (Syed Ismail & Ahmad Subki, 2010). Walaubagaimanapun, peraturan ini tidak dipatuhi sepenuhnya terutama sekolah tidak mengeluarkan resit semasa pungutan dibuat. Perkara ini berulang setiap tahun dan pegawai yang bertanggungjawab hendaklah memastikan peraturan kewangan dipatuhi setiap masa. Antara kes-kes yang dimaksudkan adalah bantuan murid per kapita dan wang kedai buku. Seorang penjawat harus sedar tentang pemberian bantuan pelajaran yang diberikan dan pungutan yang dibuat oleh sekolah adalah tujuan tertentu bagi kepentingan murid sahaja. Pihak yang dipertanggungjawabkan haruslah amanah dan memikul tugas yang diberikan dengan cekap dan berhemah. Sekiranya mereka sedar akan tujuan sebenar yang ingin dicapai maka tidak akan berlaku kes kehilangan dan penyelewengan wang bantuan kepada murid.
 Konsep pengurusan kewangan yang betul adalah dengan merancang perbelanjaan iaitu merancang masa depan dan dalam masa yang sama menyelesaikan masalah kewangan anda. Salah satu faktor berlakunya penyalahgunaan wang di sekolah adalah disebabkan guru tidak dapat menghayati kod etika profesionnya yang menggariskan batas-batas tatacara pengurusan kerjayanya. Berdasarkan piagam pelanggan, guru tidak seharusnya bertingkah laku yang boleh menjatuhkan maruah diri dan dan kehilangan amanah berhubung dengan kewangan. Merujuk artikel yang dikaji, ‘lapan kes kehilangan dan penyelewengan berjumlah RM 196,550’ menunjukkan sikap guru yang tidak amanah dalam melaksanakan tugas dalam profesion perguruan ini. Walaupun guru-guru didedahkan dengan kod etika yang harus dipatuhi oleh setiap penjawat awam ini, namun tahap kesedaran dan sikap ‘tidak mengapa’ ini menjadi satu rutin biasa bagi guru yang tidak bertanggungjawab.


Di samping itu juga, masalah penyalahgunaan wang ini juga berlaku disebabkan lemah dan kurangnya kefahaman dalam prosedur menguruskan kewangan sekolah. Hal ini dapat dilihat apabila di dalam artikel tersebut di mana Ketua Audit Negara telah menyatakan bahawa semasa membuat semakan ke atas borang permohonan KWAPM, terdapat murid yang tidak memenuhi kriteria telah diluluskan bantuannya. Walaupun pendapatan penjaga murid tidak melayakkan murid tersebut menerima bantuan, namun atas sikap tidak jujur dan amanah guru ini menyebabkan ramai murid yang tidak layak turut menerima bantuan kewangan ini. 
Etika dalam profesion yang lemah juga telah menyebabkan berlakunya masalah pengagihan wang yang tidak adil kepada murid yang tidak layak. Sebagai contoh, terdapat sekolah yang mengisi Borang Rumusan terlebih dahulu untuk dihantar kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), seterusnya meminta murid melengkapkan borang permohonan. Tindakan ini tidak mengikut prosedur yang betul dan sangat jelas kelihatan sikap dan tindakan guru ini adalah membuat kerja mudah dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.
Selain itu juga, masalah penyalahgunaan dan penyelewengan wang ini berlaku kerana sikap pihak pentadbir yang yang tidak menguatkuasakan pemantauan terhadap pengurusan wang di sekolah. Pihak pentadbir ini adalah seperti Guru Besar, pihak PPD, JPN dan sebagainya yang terbabit dengan pengurusan wang di sekolah. Jika dilihat berdasarkan laporan yang dibuat, Guru Besar sendiri telah melakukan penyelewengan terhadap  bantuan wang  KWAPM. Oleh yang demikian, pihak atasan seperti PPD haruslah sentiasa membuat pemantauan terhadap pengurusan kewangan di sekolah. Apabila kurangnya pemantauan daripada pihak atasan maka pihak yang bertanggungjawab ini akan berani untuk menggelapkan wang sekolah kerana mereka tidak perlu risau kerana pihak atasan tidak akan datang memantau. Namun, individu yang tidak bertanggungjawab ini tetap melakukan kesalan etika seorang penjawat awam dan pengurus kewangan di sekolah.


Selain itu juga, terdapat sesetengah pihak pentadbir yang tidak memahami dan masih kurang jelas tentang prosedur pengurusan perbelanjaan di sekolah yang menyebabkan guru-guru mengambil kesempatan menipu atau memalsukan butir-butir perbelanjaan untuk kepentingan sendiri. Sebagai contoh, berdasarkan artikel Berita Harian (2008), seorang guru telah ditahan kerana memalsukan invois dan pesanan kerajaan yang mengandungi butir palsu. Di samping itu, terdapat juga pihak pentadbir yang menipu dalam menulis maklumat murid supaya murid mendapat bantuan KWAPM. Berdasarkan artikel Berita Harian (2012), terdapat pihak sekolah yang mencatat angka pendapatan lebih rendah dan menambah bilangan tanggungan daripada yang ditunjukkan dalam borang permohonan murid bagi melayakkan mereka menerima bantuan.
3.0 KESAN NEGATIF ISU PENYELEWENGAN WANG DI SEKOLAH TERHADAP
GURU DAN PROFESION KEGURUAN
Isu penyelewengan dan penyalahgunaan wang di sekolah telah memberi kesan negatif kepada profesion perguruan. Tugas sebagai seorang guru dianggap mulia. Guru menjadi ‘role model’ kepada murid dan masyarakat. Sekiranya guru sendiri mencemarkan profesion perguruan sudah tentu profesion ini akan dipandang rendah oleh masyarakat. Masyarakat akan mempertikai kredibiliti dan akauntabiliti seorang guru. Menurut Mahathir (1999), guru-guru dituntut supaya mempunyai sahsiah dan akhlak yang boleh dicontohi oleh pelajar dan masyarakat disamping menguasai pelbagai ilmu, antara lain ilmu berkaitan teknologi maklumat, bahasa dan kemahiran komunikasi.
Selain itu juga, kesan penyelewengan ini juga telah mewujudkan rasa tidak hormat, tidak percaya dan tidak yakin dengan kepimpinan di dalam sesebuah organisasi sekolah. Sebagai contoh, pihak sekolah di Dengkil telah mengambil tindakan menukar guru yang menguruskan bantuan KWAMP ke sekolah lain setelah berlakunya penyelewengan dalam pengagihan bantuan KWAMP kepada murid yang tidak layak (Berita Harian, 2012). Guru memainkan juga  peranan penting dalam pembentukan sahsiah murid, watak dan moral pelajar. Oleh itu pihak sekolah yang harus mewujudkan watak yang dapat dibanggakan oleh ibu bapa, pelajar serta masyarakat setempat.
Kesan penyelewengan dan penyalahgunaan kewangan juga menyebabkan berlakunya pertelingkahan antara pihak atasan dan dengan pihak bawahan. Hal ini berlaku kerana wujudnya sikap tidak puas hati dengan pengurusan yang dilaksanakan oleh pentadbir kewangan. Sebagai contoh, guru yang pernah melakukan kesalahan menggelapkan wang sekolah akan menerima hukuman. Kemudian, selepas itu guru tersebut akan sentiasa dipandang negatif dan akan wujud rasa tidak puas hati dan menyalahkan guru tersebut di atas kesalahan yang pernah dilakukan. Begitu juga sekiranya pihak Guru Besar yang sentiasa gagal menyerahkan wang untuk tujuan pendidikan akan mewujudkan rasa tidak puas hati dan akan menyebabkan pertelingkahan antara Guru Besar dan kakitangan sekolah yang lain. Guru Besar selalunya beranggapan bahawa mereka mempunyai kuasa pentadbiran yang kuat di dalam sesebuah organisasi sekolah. Jika menurut gaya kepimpinan Islamik, seseorang pengurus seharusnya mengekalkan amanah yang diterima perlulah ditadbir, diputuskan atau dibincangkan menerusi konsep ‘syura’ iaitu musyawarah dan berbincang antara ketua (amir) dengan pekerja bawahannya serta pengurus-pengurus yang lain.
Penyelewengan wang di sekolah juga menyukarkan program-program sekolah yang hendak dilaksanakan berjalan dengan lancar. Kelancaran sesuatu program yang memerlukan peruntukan kewangan adalah sangat bergantung kepada pengurusan dan perancangan belanjawan yang cekap. Sesebuah program tidak dapat dilaksanakan disebabkan masalah kewangan yang serius. Sebagai contoh, buku nota tambahan tidak dapat dibeli dengan kadar masa segera sekiranya guru menyalahgunakan wang tersebut untuk kepentingan yang tidak sepatutnya. Sesebuah program lawatan tidak dapat berjalan dengan lancar sekiranya berlaku penyelewengan wang murid atau wang peruntukan untuk sesebuah aktiviti.
Di samping itu juga, kesan penyelewengan juga menyebabkan kebajikan murid-murid secara langsungnya terabai. Wang bantuan yang seharusnya diperuntukkan kepada murid yang kurang berkemampuan untuk membeli keperluan persekolahan namun disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Pihak Kementerian telah menyerahkan amanah dengan mengkreditkan sejumlah wang untuk kebajikan murid-murid yang berkelayakan kepada pihak sekolah untuk mengagihkan bantuan kewangan tersebut. Namun sikap tidak amanah dan tidak jujur telah menjadi amalan biasa bagi pihak ini menyebabkan murid-murid terabai sama sekali.
Selain itu juga, kesan penyelewengan dan penyalahgunaan wang ini juga akan menyebabkan berlakunya jenayah-jenayah lain. Sebagai contoh, jenayah rasuah antara pihak pentadbir dengan pihak pembekal, jenayah penyalahgunaan kuasa, jenayah vandalisme dan sebagainya. Penyelewengan wang juga menyebabkan kepincangan dalam sistem pengurusan kewangan di sekolah. Pihak yang membuat penyalahgunaan kuasa akan membuat prosedur pengurusan kewangan yang palsu untuk menutup kesalahan yang dilakukan. Walaubagaimanapun, sepandai-pandai tupai melompat akan jatuh ke tanah juga. Hal ini lama-kelamaan akan dapat dikesan oleh pihak berkuasa sekiranya ianya terus berterusan dan melibatkan masalah kewangan yang serius kerana ianya sudah jelas menunjukkan kesalahan etika dalam profesion keguruan. Oleh itu, sudah semestinya kesalahan ini akan dikenakan hukuman. Antara hukuman yang akan dikenakan di atas kesalahan yang dilakukan adalah hukuman tatatertib berupa amaran dan turun pangkat serta dikenakan tindakan surcaj.
Walaubagaimanapun, kita jarang mendengar isu masalah kewangan ini dilaporkan di media massa ataupun media cetak kerana bimbang akan menjatuhkan profesion keguruan. Walaubagaimanapun, seeloknya kes ini harus diambil serius kerana sekiranya hukuman yang  setimpal tidak dikenakan kepada pesalah yang menyalahgunakan wang ini, maka kes ini akan semakin bertambah dari tahun ke tahun kerana pihak yang tidak beretika ini akan merasakan mereka berada di zon yang selesa. Sebenarnya penyiaran berita penyelewengan wang juga mempunyai kebaikannya. Sekiranya hal ini dihebahkan, kemungkinan pihak yang bersalah akan berasa takut untuk mengulangi kesalahan yang sama kerana semestinya mereka akan dikenakan tindakan.


4.0 LANGKAH-LANGKAH MENGATASI ISU PENYELEWENGAN WANG DI
SEKOLAH
Jika dilihat kepada jumlah angka yang mencapai ratusan ribu berkaitan kes penyelewengan ini selama tempoh empat tahun ianya merupakan kes yang serius dan perlu diatasi dengan segera. Kesedaran pihak kementerian tentang masalah yang semakin berleluasa ini untuk mengatasi masalah ini adalah pihak berkenaan telah memperkenalkan bantuan KWAPM akan diberikan kepada murid yang berdaftar melalui sistem eKASIH. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mensasarkan penyaluran bantuan KWAPM adalah dilaksanakan berdasarkan senarai nama yang diperolehi daripada Data Kemiskinan Nasional yang dikenali sebagai eKASIH. Berdasarkan mesyuarat bersama Jemaah Menteri, semua bantuan persekolahan akan diuruskan oleh KPM sahaja dengan menggunakan Sistem eKASIH ini. Dengan cara ini, masalah penyalahgunaan kuasa oleh guru-guru yang tidak bertanggungjawab dapat diatasi. Sistem eKASIH merupakan Sistem Data Kemiskinan Nasional yang dibangunkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan tujuan memusatkan data golongan miskin dan miskin tegar. Tujuan penggunaan sistem ini supaya tidak berlakunya pemberian bantuan secara bertindih dengan kementerian-kementerian lain kepada orang yang sama. Dengan wujudnya sistem eKASIH ini, ianya memudahkan dan dapat mengelakkan masalah murid yang tidak layak tetapi menerima bantuan KWAMP. Di samping itu juga, ianya memudahkan kerja pihak pentadbir dan guru untuk membuat urusan permohonan mendapatkan bantuan kewangan ini.
Sekiranya isu penyalahgunaan wang di sekolah ini terus menerus menjadi fenomena biasa bagi warga pendidik dan pihak pentadbir, semestinya institusi pendidikan akan terus dicemari dengan unsur-unsur yang negatif. Jadi, sewajarnya perkara ini haruslah dibendung dan ditangani dengan segera. Antara langkah yang boleh diambil untuk menangani isu penyalahgunaan wang ini, pihak pentadbir haruslah sentiasa membuat pemantauan (monitoring) dan susulan yang sedia ada supaya lebih berkesan dan cekap. Pihak pentadbir boleh memeriksa Buku Tunai dan Buku Resit bagi mengelakkan daripada berlakunya penyelewengan dan penyalahgunaan wang di sekolah.
Jika kita merujuk kepada kes penyelewengan wang yang dilaporkan dari tahun 2004 hingga 2008, kesemua kes penyelewengan disebabkan kesalahan etika yang dilakukan oleh Guru Besar. Guru Besar merupakan pemimpin sekolah yang perlu memainkan peranan penting untuk mencapai kecemerlangan dan kelestarian untuk sesebuah organisasi. Guru Besar mesti memiliki kredibiliti dan kompeten dengan kemahiran pentadbiran, pengurusan dan kepimpinan. Jadi, Guru Besar akan mendapat kepercayaan, kebergantungan, keyakinan, sokongan, kesepakatan bekerja dan dapat meningkatkan kesetiaan serta komitmen daripada anggota organisasi, pelanggan dan stakeholders ( Syed Ismail & Ahmad Subki, 2010). Hal ini berlaku disebabkan sikap Guru Besar yang merasakan dirinya ketua organisasi sesebuah sekolah dan beranggapan tidak akan ada individu lain yang akan memantaunya di samping sahsiah diri yang rendah. Seorang Guru Besar yang baik seharusnya sentiasa mengambil tindakan segera sekiranya wujud masalah dalam pengurusan kewangan organisasi sekolah.
Selain itu juga, bagi mengatasi masalah penyalahgunaan wang di sekolah. Pihak KPM boleh melaksanakan satu sistem iaitu satu murid satu akaun bank. Sistem bayaran itu pula terus disalurkan ke dalam akaun murid. Jika sebelum ini, wang pengagihan KWAMP akan dikreditkan ke dalam akaun sekolah. (Sumber: http://Sekolah Kebangsaan Tuarid Taud, Keningau, Lobi Forum SK Tuarid/ Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin. Selepas itu pihak pengurusan sekolah yang akan mengagihkan wang bantuan tersebut, tidak semestinya wang tersebut akan terus diedarkan kepada murid. Bagi pihak pengurusan yang bertanggungjawab, kemungkinan wang tersebut akan digunakan dahulu untuk kegunaan atau kepentingan lain. Hal ini akan menyebabkan penyelewengan dalam pihak pentadbir.
Di samping itu juga, pihak pengurusan haruslah bijak membuat pengurusan belanjawan. Mereka harus menyedari akan kesalahan dalam menggunakan wang bantuan yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Pemberian bantuan yang disediakan oleh kerajaan tidak boleh digunakan dengan sewenang-wenangnya. Oleh itu, pihak pentadbir harus bijak mengurus belanjawan sekolah. Kebiasaannya, pihak pentadbir gagal membuat perbelanjaan mengikut peruntukan yang ditetapkan. Oleh sebab itiu, pihak tersebut terpaksa menyalahgunakan wang yang sepatutnya diberikan kepada murid yang memerlukan bantuan untuk menampung perbelanjaan yang tidak mencukupi tersebut. Sekiranya pihak pentadbir tidak mempunyai perbelanjaan yang mencukupi, mereka boleh membuat permohonan pindah peruntukan kepada pihak atasan.
Di samping itu ibu bapa harus memainkan peranan yang serius dalam melibatkan diri dengan PIBG di sekolah. Sekiranya PIBG aktif di sekolah, masalah penyelewengan wang di sekolah ini dapat dibendung. Sekiranya berlaku penyelewengan, ibu bapa harus bersuara dan bukan hanya menjadi datang ke sekolah mendengar perbincangan tetapi memahami isi mensyuarat  yang dibincangkan. Penglibatan ibu bapa dalam mesyuarat untuk pemilihan murid yang layak menerima bantuan KWAPM juga dapat memberikan kesan positif untuk mengelakkan masalah penyalahgunaan wang KWAPM ini. Walaubagaimanapun, guru dan ibu bapa haruslah sentiasa aktif dan peka dengan proses penyaluran bantuan ini kepada murid iaitu bukan hanya pada awal mesyuarat sahaja menjadi jawatankuasa pemilihan tetapi sehingga bantuan tersebut diserahkan kepada setiap penerima.
Akhir sekali, penyelewengan wang di sekolah ini boleh di atasi sekiranya setiap pihak mempunyai tahap kesedaran individu itu sendiri untuk berubah sekiranya telah melakukan kesalahan. Guru haruslah sentiasa membuat muhasabah diri dan sedar hidup mengikut tahap kemampuan. Di samping itu, guru haruslah sentiasa mengikhlas diri untuk bekerja sebagai guru dengan amanah, jujur dan tekad untuk menolak rasuah dengan tegas. Selain itu juga, guru sebagai penjawat awam harus berpegang teguh kepada kod etika yang telah digariskan. Isu-isu penyalahgunaan masa, wang dan kuasa haruslah dihapuskan dari terus menular dari hari ke hari kerana ianya memberikan kesan yang negatif kepada profesion keguruan, pembangunan modal insan serta masa depan generasi pada masa akan datang. Moto ‘Guru Pembina Negara Bangsa’ haruslah disemat dalam jiwa setiap insan bergelar guru.




5.0 RUMUSAN

Setelah membincangkan isu penyelewengan ini, saya sangat bersetuju sekiranya isu ini terus dibincangkan dengan lebih terperinci. Selain itu juga, pengurusan kewangan di sekolah haruslah diperkemaskan supaya tidak akan berlakunya isu penyelewengan ini. Di samping itu juga, pihak kementerian, pihak JPN dan PPD juga haruslah sentiasa membuat pemantauan ke setiap sekolah. Pemantauan haruslah dibuat dengan mengikut prosedur yang betul. Sesetengah pihak mengambil mudah tugas yang diamanahkan. Sebagai contoh, juruaudit yang ditugaskan untuk mengaudit kewangan di sebuah sekolah tidak melaksanakan prosedur mengadit dengan baik. Isu penyelewengan ini juga sebenarnya adalah kita haruslah sentiasa membuat refleksi ke atas diri sendiri di samping terdapat sokongan dan kesedaran dari pihak luar untuk memastikan individu yang menyeleweng ini tidak terus hanyut dengan dunia khayalan yang ternyata alpa dan melemahkan sesebuah institusi pendidikan. Guru harus sedar tanggungjawab dan peranan sebenar seorang guru dan amanah yang dipertanggungjawabkan keatas dirinya. Selain membangunkan etika profesion keguruan dalam diri, guru seharusnya sentiasa mempelajari ilmu-ilmu baru berkaitan mengurus dan mentadbir kerana guru semestinya bukan hanya mengajar murid di dalam kelas tetapi juga merupakan seorang pengurus dan pentadbir sekolah. Sekiranya ramai guru mempunyai kesedaran yang tinggi dalam diri mengenai tanggungjawab dan amanah sebenar yang dipikul maka isu penyelewengan wang di sekolah ini dapatlah di atasi dengan jayanya. 

Sharing is caring ^_^

4 comments:

  1. bole x nk artikel?

    ReplyDelete
  2. terima kasih atas maklumat yang diberikan. sungguh bermanfaat bagi saya

    ReplyDelete
  3. kupasan yang menarik. terima kasih di atas maklumat yg diberikan.

    ReplyDelete